Saturday, May 2, 2009

Pemuda UMNO

AYER KEROH, 29 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO di negeri ini disaran mengambil pendekatan turun padang hingga ke peringkat kampung untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pergerakan itu melalui Biro Latihan mampu melaksanakan program yang bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada ahli, malah kepada mereka yang masih belum menyertai UMNO.

Menurutnya, langkah turun padang perlu kerana golongan muda harus diberi kesedaran tentang pentingnya mereka mengetahui isu-isu semasa negara khususnya dalam memelihara dan memartabatkan bangsa Melayu.

“Saya melihat jika Pemuda UMNO dapat melakukan langkah turun padang dan memberikan penerangan dan kesedaran, sudah pasti golongan Pemuda yang bakal menerajui kepimpinan negara akan dapat menangani cabaran dengan lebih mudah,” katanya Mohd Ali yang juga Ketua Menteri.

Mohd Ali yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Keahlian UMNO Malaysia berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis kunjungan hormat Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin di kediamannya di Seri Bendahara di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Shahrul Azwar Abd Aziz serta Timbalannya, Ramli Tahir, Setiausaha dan Bendahari Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Mohd Shahrizal Mohd Sidik dan Zuhri Iskandar Abd Rahman serta ahli jawatankuasa Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin.

Pada majlis itu, Mohd Ali turut menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 dari Giant Group Limited (London) kepada Shahrul Azwar bagi membolehkan Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin melaksanakan program pada tahun hadapan.

Saturday, November 22, 2008

Agenda Biro

Agenda Biro
i. Memantapkan nilai jati diri Melayu dalam jiwa setiap pemimpin Pemuda agar sentiasa tertanam dan terpahat semangat cintakan parti, agama, bangsa dan negara, dan seterusnya menginsafi betapa perlunya UMNO terus memayungi orang Melayu.
ii. Memahami dan menghayati Perlembagaan UMNO dengan sejelas-jelasnya agar setiap pemimpin Pemuda tidak tersasar dari landasan perjuangan.
iii. Memantapkan semangat juang di kalangan pemimpin Pemuda dengan melihat kepada sejarah perjuangan UMNO.
iV. Menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa setiap pemimpin Pemuda agar dapat menghasilkan personaliti ahli politik yang berkualiti, berdaya tahan dan bebas daripada amalan yang boleh merosakkan parti.
v. Mengenalpasti cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh UMNO dan menyediakan pelan tindakan Pemuda yang strategik.
vi. Membentuk dan memahami hala tuju bersama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia